Tiada kuota khas pengambilan guru kontrak perkhidmatan

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan tiada sebarang kuota khas dalam pengambilan bagi guru kontrak perkhidmatan (COS).

Beliau menjelaskan, keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan untuk mengisi kekosongan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 (DG41).

"Sejak awal lagi kementerian bertegas bahawa ia perlu diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan yang layak kerana mereka dilatih untuk menjadi seorang guru.

"Sekiranya terdapat kekosongan selepas itu, peluang dibuka kepada graduan bukan ikhtisas," katanya pada sidang akhbar khas di kementeriannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, COS telah menimbulkan perbincangan oleh pelbagai pihak sehingga kementerian dituduh tidak telus sedangkan tiada kuota khas.

Katanya, sejak dilantik Menteri Pendidikan, beliau mendapati kekurangan guru adalah sangat tinggi.

"Ada 18,702 kekurangan yang mana tidak pernah berlaku dalam sejarah negara pengambilan sebegitu," katanya.

Ujarnya, senarai nama 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perakuan khusus bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"SPP akan pilih berapa ramai yang diperlukan. Tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa SPP dan kementerian tidak telus dalam keputusan temuduga COS yang dikeluarkan baru-baru ini selain dakwaan 5,000 kuota dikurangkan kepada 2,400 guru.

Tambah Mohd Radzi, pihaknya mendapati seramai 200 graduan ikhtisas yang layak belum mendapat surat dari Senat universiti.

"Tidak adil jika kita abaikannya kerana bukan salah mereka tidak mendapat surat dari senat.

"Pengambilan mereka tidak ada kaitan dengan COS graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita guna laluan lain," katanya.

Sabtu lalu, Mohd Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 COS pengambilan 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini.