Gaduh, tikam punggung teman wanita bongkar kegiatan hisap dadah

Kamarul Zaman (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Khamis.
Kamarul Zaman (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan sepasang kekasih warga Singapura yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penagihan dadah ketika berkunjung ke negeri ini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perbuatan pasangan itu dibongkar apabila polis menerima aduan berkenaan pergaduhan antara mereka berdua di sebuah pangsapuri di Mount Austin di sini.

Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, pasangan berusia 34 dan 29 tahun itu didakwa telah bertengkar sebelum suspek lelaki bertindak agresif dengan mengambil pisau dan menikam punggung sebelah kanan teman wanitanya.

"Kedua-dua mereka kemudiannya ditahan yang mana polis dapati kedua-dua mereka positif di bawah pengaruh dadah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek kini didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau juga mengingatkan orang awam terutama pengunjung warga asing untuk sentiasa menghormati undang-undang di negara ini.

“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini, tetapi kita harap semua dapat menjaga keharmoniannya dan menghormati undang-undang sedia ada.

“Sekiranya ingkar, saya ingin mengingatkan polis tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas jika mereka ini melanggar undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamarul Zaman turut menafikan laporan berita portal media sosial Singapura yang menyenaraikan beberapa lokasi di bandar raya ini sebagai kawasan berbahaya terutama kepada pengunjung dari republik berkenaan.

"Ada media asing tidak bertanggungjawab dan menuduh Johor tidak selamat dengan menyebarkan beberapa lokasi yang didakwa berbahaya, saya menafikan tuduhan berkenaan.

"Sejak pembukaan sempadan pada April lalu, seramai 1,600 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi meningkatkan kawalan di 41 lokasi tumpuan ramai di seluruh negeri,” katanya.