Sumbangan Pahang Pride Kid dinaikkan RM300 tahun depan

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kid kepada keluarga bayi yang dilahirkan di negeri ini sempena Majlis Pelancaran Pahang Pride Kid 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan pada Khamis.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kid kepada keluarga bayi yang dilahirkan di negeri ini sempena Majlis Pelancaran Pahang Pride Kid 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menaikkan nilai sumbangan Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) daripada RM200 tahun ini kepada RM300 tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu sebagai salah satu inisiatif bagi menggalakkan kadar kelahiran di negeri ini yang masih rendah.

Menurutnya, walaupun Pahang sebuah negeri yang besar, bilangan penduduknya hanya kira-kira 1.67 juta orang setakat ini.

"Tahun lalu, hanya 25,000 kelahiran bayi direkodkan di Pahang dan tahun ini, angka itu diharap meningkat.

"Sebab itu, kerajaan negeri bersetuju untuk naikkan nilai sumbangan kepada RM300 untuk setiap bayi yang dilahirkan di Pahang, mungkin RM150 dalam bentuk simpanan dan RM150 barangan tetapi sebaiknya RM200 sebagai simpanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pahang Pride Kid 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Bandar, Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, sumbangan Pahang Pride Kid bukan hanya untuk penduduk Pahang, malah ibu dari negeri lain yang melahirkan anak di negeri ini juga layak menerima inisiatif itu.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program penanaman satu pokok bagi setiap satu kelahiran di negeri ini sebagai simbolik kepada kelahiran bayi-bayi tersebut.

“Inisiatif ini secara langsung akan menambahkan lagi bilangan pokok-pokok hutan sekali gus mampu menyumbang kepada kelestarian biodiversiti hutan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, jangkaan lebih 25,000 pokok hutan akan ditanam pada tahun ini melalui program tersebut.

"Pemilihan jenis pokok yang akan ditanam bergantung kepada kesesuaian mengikut daerah," katanya.