Selangor mahu jadi pelopor tanaman jagung bijirin

Izham (kiri) mengiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman ketika Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di SFV di Bestari Jaya pada Khamis.
Izham (kiri) mengiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman ketika Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di SFV di Bestari Jaya pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor bersedia untuk menjadi pelopor dan bekerjasama dengan negeri lain bagi membangunkan tanaman jagung bijirin untuk kegunaan makanan ayam serta ternakan haiwan ruminan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pada masa ini sebanyak 300 ekar tanaman jagung bijirin diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kuala Langat.

Menurutnya, industri itu berpotensi besar untuk dibangunkan dan dijangka mampu memberi keuntungan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita minta negeri lain dapat bekerjasama dengan Selangor bagi penanaman jagung bijirin kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan import.

"Permintaan ayam semakin meningkat kerana ia turut membabitkan ayam proses seperti nuget, burger dan makanan sejuk berasaskan ayam lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Izham berkata, pada masa ini usahasama itu dijalin antara PKPS dan Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan.

"Di Negeri Sembilan, kita ada 400 ekar (160 hektar), tetapi ia masih tidak mencukupi, malah jika 10,000 ekar (4,000 hektar) sekali pun kita masih terpaksa bergantung dengan bijirin import," katanya.

Tambah beliau, Selangor sendiri misalnya tidak mempunyai tanah mencukupi bagi membangunkan tanaman berkenaan.

"Harga makanan ayam mahal hingga mencecah RM2,600 satu metrik tan sedangkan kos terlibat baharu RM500 satu tan metrik.

"Jadi apabila dikaji dan ada penyelidikan termasuk dari segi cuaca, maka tanaman ini sememangnya bersesuaian ditanam di negara ini," katanya.