Pulau Pinang kenal pasti kawasan tanam jagung

Muhaimin (tengah) menunjukkan durian yang disediakan sempena majlis hari bertemu pelanggan Jabatan Pertanian negeri pada Rabu.
Muhaimin (tengah) menunjukkan durian yang disediakan sempena majlis hari bertemu pelanggan Jabatan Pertanian negeri pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Pulau Pinang sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai dan berpotensi bagi tanaman jagung sebagai alternatif makanan ayam dalam skala kecil di tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Muhaimin Ibrahim berkata, beberapa kawasan dikenal pasti antaranya di sekitar kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan tanaman jagung itu bakal dimulakan pada tahun ini selepas perbincangan lanjut diadakan bersama pihak berkaitan.

“Tanaman bijirin jagung ini memerlukan kawasan yang luas dan tanah yang sesuai kerana kita mahu hasil yang berkualiti.

“Sebagai contoh, kita sudah mengenal pasti kawasan seluas 32.4 hektar untuk tanaman bijirin jagung ini, tetapi kita perlu lihat juga bentuk muka buminya,” katanya ketika majlis hari bertemu pelanggan Jabatan Pertanian negeri di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengusahakan tanaman jagung sebagai alternatif makanan ayam dalam skala kecil di tanah TOL di negeri itu.

Kon Yeow berkata, pihaknya menggalakkan petani untuk menceburi tanaman jagung itu dalam skala kecil kerana ketika ini permohonan untuk tanah TOL kebanyakannya hanya untuk penanaman buah-buahan.

Beliau berkata, penanaman bijirin atau jagung untuk makanan ayam berskala besar tidak sesuai di Pulau Pinang yang mempunyai keluasan tanah kecil dan setakat ini hanya penanaman padi dalam skala besar sahaja dijalankan iaitu di kawasan Seberang Perai Utara.

"Tanah TOL juga sebenarnya pegangannya perlu diperbaharui setiap tahun (satu tahun) dan ia tidak sesuai untuk tanaman jangka panjang.

"Keluasan tanah TOL juga cuma sekitar 10,000 kaki persegi dan terdapat plot-plot kecil untuk individu sekitar 2,000 hingga 5,000 kaki persegi yang kerap dimohon untuk aktiviti pertanian," katanya.