55 mangsa banjir diselamatkan di Gurun

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Gurun, Kedah. - Foto JBPM
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Gurun, Kedah. - Foto JBPM
A
A
A

GURUN - Seramai 55 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di beberapa lokasi di Gurun, Kedah bermula kira-kira jam 4.30 pagi Khamis.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Nor Iman Mustafa berkata, seramai 10 mangsa dilaporkan terjejas adalah dari Taman Gurun Jaya dan 42 mangsa dari Kampung Ibor.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Kedah menerima panggilan melalui Sistem MERS 999 memohon bantuan menyelamat mangsa banjir di lokasi terbabit bermula jam 4.35 pagi.

"Operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yan di mana jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Pemantauan di lokasi kejadian mendapati terdapat empat buah rumah yang terjejas di Taman Gurun Jaya, manakala di Kampung Ibor terdapat kira-kira 50 buah rumah dilaporkan dinaiki air," katanya.

Bagaimanapun, kesemua mangsa telah berjaya dipindahkan ke rumah saudara berhampiran dan ke lokasi selamat.

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Gurun, Kedah.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir di Gurun, Kedah.

"Anggaran paras air ketika kejadian mencecah 0.5 meter, namun sehingga jam 8 pagi, paras air mulai surut kepada 0.1 meter.

"Tiada pusat pemindahan dibuka seperti yang dilaporkan, setakat ini," katanya.

Sementara itu, hasil maklumat JBPM, tiga mangsa dari Kampung Pulau Cenghai turut terjejas dan berjaya diselamatkan.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, antara kawasan lain yang turut dilaporkan terjejas termasuk Kampung Belakang Mahkamah Gurun, Jelatang, Batu 5, Sungai Badak dan Sungai Bongkok.

Menurutnya, operasi turut dibantu pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela, Penghulu Mukim Gurun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pejabat Daerah dan Tanah.

"Hujan lebat lebih tiga jam mengakibatkan berlaku kejadian banjir.

"Bagaimanapun, sehingga 7 pagi, kebanyakan kawasan menunjukkan air sudah surut kecuali di Kampung Sungai Bongkok dan kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan bagi memastikan kesemua mangsa berada di lokasi selamat," katanya.