Penunggang basikal maut dirempuh kereta

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut ( Foto: Ihsan PDRM)
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut ( Foto: Ihsan PDRM)
A
A
A

NILAI - Seorang penunggang basikal maut selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Temiang-Pantai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu ialah lelaki berusia 72 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 26 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar basikal ditunggang mangsa di bahu kiri jalan.

"Ketika itu Perodua Axia terbabit dipandu dari Jalan Pantai menghala ke Kajang, Selangor," katanya kepada media pada Rabu.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 016-2895801 bagi membantu siasatan," katanya.