Kelantan catat penurunan kes HFMD

A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan penurunan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi tempoh Minggu Epidemiologi (ME) ke-21 iaitu 1,179 kes berbanding ME ke-20 sebanyak 1,233 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang ME ke-21 bagi tempoh antara 22 hingga 28 Mei lepas, kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

"Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 429 kes, diikuti Gua Musang (130 kes), Pasir Mas (108 kes), Tumpat (97 kes).

"Selain itu, Machang mencatat 87 kes, Kuala Krai (86 kes), Pasir Puteh (82 kes), Tanah Merah (75 kes), Bachok (65 kes) dan Jeli (20 kes)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sebahagian besar wabak yang dilaporkan adalah membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Katanya, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan tahun ini, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 69.4 peratus.

"Secara keseluruhan, 91.4 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah, diikuti 7.5 peratus bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

"Remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun yang dijangkiti HFMD sebanyak 0.5 peratus dan golongan berusia 18 tahun ke atas pula sebanyak 0.7 peratus," katanya dan menambah jumlah kumulatif setakat ini adalah sebanyak 4,905 kes. - Bernama