Cincin 'Wana Love Wan' ditemui pada mayat diserkup guni

Mayat dalam keadaan tangan dan kaki diikat manakala kepala hingga pinggang diserkup menggunakan guni ditemukan terapung di Kampung Sungai Batu Besi, Mukim Bujang pada Jumaat. Gambar kecil: Sebentuk cincin yang mempunyai tulisan 'Wana Love Wan' ditemui pada jari kiri mangsa.
Mayat dalam keadaan tangan dan kaki diikat manakala kepala hingga pinggang diserkup menggunakan guni ditemukan terapung di Kampung Sungai Batu Besi, Mukim Bujang pada Jumaat. Gambar kecil: Sebentuk cincin yang mempunyai tulisan 'Wana Love Wan' ditemui pada jari kiri mangsa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebentuk cincin bertulis 'Wana Love Wan' menjadi petunjuk pencarian identiti mayat lelaki yang ditemui terapung dalam keadaan tangan dan kaki diikat manakala kepala hingga pinggang diserkup menggunakan guni di Kampung Sungai Batu Besi di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, antara petunjuk lain yang dikenal pasti pada mayat lelaki terbabit ialah mempunyai berat 52 kilogram, tinggi 163 sentimeter dan anggaran usia antara 30-an dan 40-an.

"Lelaki terbabit memakai baju T lengan pendek saiz L bertulis 'T Me Up' warna merah dan kelabu di bahagian kolar dan lengan.

"Kita juga mengesan terdapat cincin warna 'silver' di jari kiri dengan tulisan 'Wana Love Wan'," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat digesa tampil membantu siasatan.

Baju T lengan pendek warna merah dan kelabu yang dipakai lelaki terbabit ketika ditemui.
Baju T lengan pendek warna merah dan kelabu yang dipakai lelaki terbabit ketika ditemui.

"Polis memohon sekiranya mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Muda, Asisten Superintenden, Ooi Wei Seng di talian 019-4186118 atau 04-4299222," katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan mayat seorang lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat manakala kepala hingga pinggang diserkup menggunakan guni ditemukan terapung di Kampung Sungai Batu Besi kira-kira jam 10.08 pagi.

Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu dikatakan ditemui dua lelaki yang sedang memukat ikan di kawasan terbabit sebelum menghubungi polis.

Berdasarkan keadaan mangsa dipercayai kemungkinan dibunuh di tempat lain sebelum dimasukkan ke dalam guni dan dicampak ke dalam sungai antara satu hingga empat hari sebelum dijumpai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.