Duduk pangsapuri tapi bercita rasa banglo

Unit di tingkat dua Flat Taman Dato Harun, Petaling Jaya yang diubah suai sehingga mengubah reka bentuk asal.
Unit di tingkat dua Flat Taman Dato Harun, Petaling Jaya yang diubah suai sehingga mengubah reka bentuk asal.
A
A
A

BARU-BARU ini tular beberapa keping gambar pengubahsuaian melampau yang dilakukan sesetengah pemilik pangsapuri di sekitar Lembah Klang yang mengundang kritikan netizen.

Gambar yang tular melibatkan kawasan pangsapuri di Taman Dato Harun, Petaling Jaya dan Flat UTM AU3/1, Ampang jelas menunjukkan ia diubah suai tanpa kebenaran malah berisiko kepada pemilik kediaman lain.

Pengubahsuaian yang dibuat bukan sahaja mengganggu struktur bangunan malah ia juga tidak melalui pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Akibatnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan dibuat pemilik kediaman terbabit kerana tidak mendapat kelulusan.

MPAJ dalam kenyataannya memberitahu, tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.

Jelasnya, isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, malah dikhuatiri pula boleh mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.

Kita perlu ingat kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 iaitu lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.

Malah tindakan notis dan roboh serta-merta boleh dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) berikutan tambahan struktur baharu di bahagian tepi dan belakang yang tidak dibenarkan bagi bangunan kediaman bertingkat.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian tanpa mendapat kelulusan di kawasan pentadbiran.

Ini bukan soal hendak aniaya pemiliknya, semua orang ada impian mahu miliki rumah besar dan cantik, tapi sebelum lakukan pengubahsuaian kena periksa dan ambil tahu apakah pengubahsuaian yang akan dibuat itu nanti tidak akan mendatangkan masalah.

Baik pemilik pangsapuri ataupun rumah teres, jangan lakukan pengubahsuaian sewenang-wenangnya tanpa kelulusan.

Ini kerana bukan setakat mendatangkan bahaya kepada penghuninya malah turut menerima tempias risikonya melibatkan jiran satu blok atau sebelah rumah.

Jangan kerana sikap pentingkan diri, keselamatan seluruh kejiranan anda diperjudikan.