X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

‘Denda atau ubah ke bentuk asal’

Pemilik unit kediaman strata yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa dan badan pengurusan bersama bangunan boleh dikenakan tindakan. Gambar kecil: Mohd Norzaki
A
A

SHAH ALAM - Pemilik unit kediaman strata yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa dan badan pengurusan bersama bangunan boleh dikenakan tindakan denda mengikut peraturan dalam Akta Pengurusan Strata 2013.

Peguam hartanah, Mohd Norzaki Mohd Yusop berkata, terdapat beberapa senarai pengubahsuaian yang dilarang mengikut akta berkenaan di bawah Peraturan-peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015.

“Antara perkara yang dilarang adalah membina tingkat lantai lain, memindah atau menanggalkan mana-mana pintu atau tingkap dalaman petak, membuat perubahan kepada ciri keselamatan petak yang tidak tertakluk kelulusan.

“Pemilik perlu menanggung rugi badan pengurusan terhadap apa-apa liabiliti yang boleh timbul atau dialami akibat pengubahsuaian tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Norzaki berkata, pemilik unit kediaman strata perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pengurusan.

Jika kerja pengubahsuaian diteruskan, maka pihak pengurusan boleh mengenakan denda kerana pemilik mengubah suai unit tanpa permit.

“Wang denda akan dimasukkan ke dalam akaun penyelenggaraan kediaman strata itu.

“Jumlah denda itu nanti akan ditentukan dalam mesyuarat agung badan pengurusan terlibat dan mereka boleh ambil tindakan kepada pemilik yang tidak membayar denda dan tidak mengubah rumah tersebut kepada keadaan asal,” katanya.

Flat Taman Dato Harun, Petaling Jaya yang diubah suai sehingga mengubah reka bentuk asal.
Flat Taman Dato Harun, Petaling Jaya yang diubah suai sehingga mengubah reka bentuk asal.

Mengulas keadaan flat di Taman Dato Harun yang gambarnya tular di media sosial baru-baru ini, Mohd Norzaki berpandangan, unit berkenaan berkemungkinan tidak diurus oleh badan pengurusan dan hanya dilantik penduduk setempat.

“Badan pengurusan biasanya untuk kondominium dan pangsapuri. Sebab banyak benda untuk diselenggara, contohnya kolam renang dan sebagainya.

“Kebanyakan rumah flat di Malaysia susah nak cari yang ada badan pengurusan kerana ia hanya dilantik dalam kalangan penduduk dan sebab itu, apabila penduduk buat pengubahsuaian, tiada siapa yang tampil untuk beri notis.

“Jika diikutkan, sambungan unit tingkat bawah hingga ke lot parkir juga salah mengikut undang-undang, hanya pengubahsuaian yang dibenarkan oleh badan pengurusan sahaja boleh dibuat,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!