Sedania catat keuntungan lima suku tahunan berturut-turut

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SEDANIA Innovator Berhad mencatatkan keuntungan untuk lima suku tahunan berturut-turut apabila merekodkan keuntungan bersih RM510,000.

Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pada suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022 (1Q22), syarikat itu menerima perolehan sebanyak RM9.04 juta.

Menurutnya, berbanding tempoh sama sebelum ini, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM4.89 juta dengan pendapatan sebanyak RM17.07 juta.

“Prestasi lemah pada 1Q22 kebanyakannya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen ‘Sustainable Energy’, namun perolehan kukuh daripada segmen ‘Sustainable Healthcare’ dan ‘Fintech’ berjaya melonjakkan pendapatan bersih kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas mengenai prestasi kewangan Sedania, Azrin berkata, pada 1Q22, syarikat itu berjaya mengekalkan momentum positif daripada prestasi kewangan yang membanggakan dalam tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21).

“Ini membuktikan daya tahan model perniagaan kami yang pelbagai dan mampan,” katanya.

Jelasnya, bahagian ‘Sustainable Energy’ Sedania merekodkan pendapatan RM56,000 pada 1Q22 berbanding RM10.16 juta setahun lalu kerana tiada pemasangan yang disiapkan untuk bangunan di tapak projek di bawah kontrak prestasi tenaganya bagi suku ini.

“Ini menyebabkan segmen itu merekodkan kerugian sebelum cukai RM50,000 berbanding untung bersih RM3.67 sebelumnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, segmen teras kumpulan yang lain, ‘Sustainable Healthcare’, mencatatkan peningkatan 37 peratus sumbangan pendapatan kepada RM7.32 juta pada 1Q22 daripada RM5.34 juta setahun lalu, didorong oleh jualan keseluruhan yang lebih tinggi daripada majoriti pasarannya.

“Keuntungan sebelum cukai menyusut 43 peratus kepada RM883,000 berbanding RM1.54 juta pada tempoh sama sebelumnya berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi ekoran penyertaan Offspring dalam TCE Baby Expo yang diadakan pada Mac 2022, serta bayaran yang lebih tinggi kepada kakitangan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Tambahnya lagi, pendapatan segmen ‘FinTech’ meningkat 19 peratus kepada RM1.15 juta dengan trafik yang lebih tinggi daripada platform Tawarruqnya berbanding setahun lalu.

“Hasil untung sebelum cukai daripada segmen ini meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM413,000 pada 1Q22 berbanding RM142,000 setahun lalu,” ujarnya.

Berhubung keuntungan yang lebih rendah daripada segmen ‘Sustainable Energy’, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Ruppert berkata, perniagaan ‘Sustainable Energy’ berasaskan projek pengiktirafan hasil boleh berubah merentasi tempoh berbeza dalam setahun bergantung kepada penyiapan pemasangan bagi setiap bangunan di bawah projek-projek kami.

“Contohnya, kami mungkin akan aktif dengan kerja-kerja projek ini dalam beberapa bulan tetapi kerja pemasangan mungkin masih tidak siap sekali gus akan mengakibatkan pengiktirafan keuntungan yang lebih rendah bagi suku tersebut.

“Dengan pelbagai projek dalam perancangan untuk tahun ini dan seterusnya, kami yakin akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding tahun lepas,” katanya.

Rupert berkata, anak syarikat ‘Sustainable Healthcare’, Offspring Inc Sdn Bhd telah menembusi pasaran Togo dan Nigeria 23 negara lain baru-baru ini.

“Kepakaran kami dalam menyediakan penyelesaian bagi kewangan Islamik menerusi bahagian FinTech, meletakkan kami di kedudukan strategik untuk menyokong peningkatan infrastruktur digital pada masa hadapan yang diperlukan oleh pemegang lesen perbankan digital yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.