Projek di Sungai Muda, Lahar Tiang mesti patuhi undang-undang: Exco

Zairil Khir
Zairil Khir
A
A
A

GEORGETOWN - Sebarang projek di Sungai Muda, Kedah dan di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi undang-undang berkaitan dan tidak boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.78 juta penduduk di Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengabstrak lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan setiap hari untuk menghasilkan air terawat dari Sungai Muda, Kedah.

"Kesan akibat pelaksanaan projek takungan air di pinggiran Sungai Muda masih belum diketahui dan kerajaan negeri akan terus melindungi kepentingan Pulau Pinang berkenaan dengan jaminan bekalan air.

"Sekiranya projek tersebut memberi kesan buruk kepada negeri Pulau Pinang, maka kerajaan negeri akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) berhubung kesan yang akan berlaku jika kerajaan negeri Kedah melaksanakan projek takungan air di pinggiran Sungai Muda.

Katanya, jika terdapat pelaksanaan projek yang dikhuatiri menjejaskan bekalan air kepada penduduk, kerajaan negeri akan mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Persekutuan atau mengusulkan bantahan di Parlimen selain mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi di mahkamah.

"PBAPP akan berusaha untuk melaksanakan lebih banyak projek strategik menerusi Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 bagi mengurangkan risiko kemungkinan berlakunya musibah di Sungai Muda yang boleh mempengaruhi perkhidmatan bekalan air di PulauPinang pada masa akan datang.

"Krisis bekalan air di Pulau Pinang juga akan menyebabkan kerugian besar kepada semua perniagaan yang kini menyumbang sebanyak RM94.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2019," katanya. - Bernama