Chulio terima pingat berjaya kesan mayat

Chulio menerima pingat 'Jasamu Dikenang' apabila berjaya menyelesaikan kes orang hilang dalam tempoh setengah jam, baru-baru ini.
Chulio menerima pingat 'Jasamu Dikenang' apabila berjaya menyelesaikan kes orang hilang dalam tempoh setengah jam, baru-baru ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Seekor anjing baka German Shepherd, Chulio dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pingat 'Jasamu Dikenang' apabila berjaya menyelesaikan kes orang hilang dalam tempoh setengah jam, baru-baru ini.

Chulio yang dikendalikan oleh Koperal Tony Matius Farang menerima pingat daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Menurut Mohamad Roy Suhaimi, bantuan K9 dipanggil selepas usaha awal yang dilakukan gagal menemukan sebarang petunjuk keberadaan lelaki berusia 85 tahun itu.

"Mangsa yang menghidap penyakit nyanyuk dilaporkan hilang pada 9 Mei lalu dan kali terakhir dilihat berada di kebun sayur dan ladang sawit di Kampung Baru Nalla.

"Chulio dipanggil memulakan tugas pada 11 Mei dan anjing itu berjaya mengesan mayat dalam keadaan separuh bogel di dalam sungai, namun pengecaman tidak dapat dilakukan berikutan keadaan fizikal mangsa," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Chulio bersama pengendalinya Tony Matius (tiga dari kiri) selepas menerima pingat 'Jasamu Dikenang' pada Perhimpunan Bulanan IPD Batu Gajah pada Selasa.
Chulio bersama pengendalinya Tony Matius (tiga dari kiri) selepas menerima pingat 'Jasamu Dikenang' pada Perhimpunan Bulanan IPD Batu Gajah pada Selasa.

Katanya, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dihantar ke Jabatan Kimia Kuala Lumpur bagi pengesahan identiti.

Sementara itu, Ketua Seksyen K9 Perak, Sarjan V Gunalan berkata, Chulio telah menyertai lebih 50 operasi dan ia pingat pertama yang diterima sejak mula berkhidmat dalam pasukan polis.

"Chulio merupakan salah seekor anjing yang dilatih khas untuk membantu pasukan polis dalam mengesan mayat menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ini kejayaan keduanya manakala kejayaan pertama apabila menemukan mayat mangsa dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sungai Ubi, Cameron Highlands, April lalu," katanya.

Katanya, Chulio dan Rocky merupakan aset berkaki empat yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada masa kini.