Kerajaan negeri bakal sedia aset bantu tugas pasukan penyelamat

Syed Ibrahim diiringi Dr Wan Mohammad Zaidi (tiga dari kiri) menyampaikan sijil tauliah kepada Pegawai Bomba Bantuan yang menamatkan latihan sempena Majlis Perasmian Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota pada Selasa.
Syed Ibrahim diiringi Dr Wan Mohammad Zaidi (tiga dari kiri) menyampaikan sijil tauliah kepada Pegawai Bomba Bantuan yang menamatkan latihan sempena Majlis Perasmian Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sentiasa berkerjasama dengan pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bencana di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri bersetuju menyediakan aset termasuk tiga bot amphibia dan satu unit bot hovercraft untuk kegunaan pasukan penyelamat seperti diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.

Menurutnya, perolehan aset berkenaan menggunakan sebahagian daripada peruntukkan RM35 juta yang diluluskan bagi perolehan dan pembelian dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri ini.

"Aset-aset yang bakal diterima kita cadangkan supaya ditempatkan di pejabat agensi penyelamat seperti balai bomba.

"Keputusannya bagaimanapun bergantung kepada pegawai daerah terlibat selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan timbalannya, Mohd Zahar Abdullah.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga menyambut baik langkah JBPM Pahang membuat pengambilan dan mengadakan latihan untuk PBB baharu bagi membantu meningkatkan kecekapan penugasan di balai-balai bomba di negeri ini.

Sementara itu, Dr Wan Mohammad Zaidi berkata, seramai 46 PBB berjaya menamatkan latihan dan menerima tauliah masing-masing pada majlis itu.

Menurutnya, semua mereka akan ditempatkan segera di balai-balai bomba mengikut keperluan termasuk di balai-balai baharu seperti BBP Kuala Krau dan Kuala Tahan yang bakal beroperasi.

"Pada pengambilan yang pertama untuk tahun ini, semua PBB yang terpilih menjalani latihan asas kebombaan selama 10 hari bermula 21 Mei lalu.

"Proses pengambilan PBB di negeri ini akan diadakan secara berterusan dengan mengambil kira kepada pembukaan BBP baharu dan bagi mengisi kekosongan sekiranya ada anggota meletak jawatan.

"Ketika ini terdapat 138 PBB yang ditempatkan di BBP seluruh daerah dan mereka ini boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kes-kes kecemasan dan bencana di negeri ini" katanya.