Warga emas mengaku tidak salah pandu van sekolah lawan arus

Raman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, 11 Mei lalu.
Raman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, 11 Mei lalu.
A
A
A

MANJUNG - Seorang pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan di sini tiga minggu lalu.

M Raman, 74, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu van sekolah jenis Isuzu secara melulu dengan melawan arus di hadapan sebuah premis kenderaan terpakai di Jalan Lumut-Sitiawan di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang jam 7.15 malam pada 11 Mei lepas dan telah dirakam oleh pemilik akaun TikTok blackhyppo_7.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Seseorang yang disabit di bawah Seksyen ini akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norafida Leman manakala tertuduh diwakili Peguam S Dharmanathan.

Mahkamah turut menetapkan 20 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kejadian sekitar jam 7.15 malam 11 Mei lalu berlaku semasa pemandu tersebut sedang membawa lapan orang pelajar berusia 13 hingga 14 tahun.

Hasil siasatan awal, lelaki terbabit mengaku bahawa van tersebut dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari sekolah.

Kejadian itu tular menerusi satu video berdurasi 19 saat di aplikasi TikTok memaparkan sebuah van sekolah berwarna kuning dipandu secara berbahaya dan melawan arus.