Hampir 13,000 lembu disuntik vaksin LSD di Terengganu

Hampir 13,000 ekor ternakan lembu dari 695 premis di Terengganu sudah menerima vaksin penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD). - Foto 123RF
Hampir 13,000 ekor ternakan lembu dari 695 premis di Terengganu sudah menerima vaksin penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD). - Foto 123RF
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Hampir 13,000 ekor ternakan lembu dari 695 premis di Terengganu sudah menerima vaksin penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, semua lembu tersebut divaksin dalam program vaksinasi LSD yang digerakkan JPV bermula Oktober hingga April lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga memberi sokongan dalam vaksinasi tersebut dengan memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk perolehan bekalan vaksin LSD bagi pencegahan wabak penyakit LSD di negeri Terengganu.

"Sejak penyakit LSD melanda negara, JPV negeri Terengganu telah membuat pemantauan terhadap penyakit ini dan merekodkan 50 kes jangkitan LSD pada lembu di 25 premis.

"Daripada jumlah itu, kita telah melupuskan sebanyak 43 ekor lembu yang positif pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Dr Anun berkata, vaksinasi merupakan perkara utama yang dititiberatkan dalam mengawal rebakan penyakit dan selepas vaksinasi LSD dilakukan, penyakit tersebut berjaya dikawal.

Anun Man
Anun Man



Katanya, setakat ini terdapat 85,000 ekor ternakan lembu berdaftar melibatkan hampir 5,000 penternak di Terengganu dan vaksinasi LSD akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Selain itu kata beliau, JPV juga mengawal rebakan penyakit ke kawasan-kawasan lain melalui Akuan Kebenaran Pindah (AKP) atau permit pergerakan.

Menurut Anun, AKP adalah dokumen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Veterinar bagi membolehkan haiwan, hasil dan produk haiwan dipindahkan dari satu premis ke satu premis secara sah.

"Tujuan utama keperluan AKP ini diwujudkan adalah bagi mengetahui status haiwan atau ternakan tersebut sebelum dipindahkan melibatkan prosedur pemeriksaan kesihatan serta persampelan dan hanya ternakan atau haiwan yang sihat sahaja boleh dipindahkan.

"Dalam tempoh dua tahun, kita berjaya mengesan 30 kes pemindahan ternakan tanpa permit di seluruh Terengganu dengan jumlah lucut hak keseluruhan lebih RM79,000," katanya.