Pemilihan PKR: Rafizi dahului lebih 10,000 undi

Gambar dari kiri: Saifuddin, Rafizi
Gambar dari kiri: Saifuddin, Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendahului dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini, dengan 52,383 undi berbanding pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan 40,657 undi.

Berdasarkan keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, Rafizi jauh meninggalkan pesaingnya dengan 11,726 undi serta menang di tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Johor, Melaka, Perak manakala Sabah dimenangi Saifuddin.

Keputusan di Sabah agak unik memandangkan walaupun Saifuddin hanya menang di enam cabang, tetapi jumlah undian yang diperoleh lebih tinggi iaitu 8,585 berbanding Rafizi yang memperoleh 6,814 undi walaupun menang di 19 cabang.

Bagaimanapun, di Selangor, Rafizi menang di 13 cabang dengan 25,449 manakala Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, hanya menang di sembilan cabang dengan 22,101.

Saifuddin juga tewas di semua cabang di Melaka dan memperoleh 1,464 undi manakala Rafizi menang kesemua enam cabang dengan 2,427 undi.

Di Negeri Sembilan pula, Rafizi menang dengan 5,522 undi di tujuh cabang manakala pesaingnya hanya menang satu cabang dengan 2,559 undi.

Sementara di Kedah, Rafizi memperoleh 4,847 undi di 11 cabang manakala Saifuddin menang di empat cabang dengan 2,724 undi.

Saifuddin tewas di Kelantan dengan perbezaan 1,000 undi apabila hanya mampu memperoleh 2,107 undi di empat cabang manakala Rafizi menang di 10 cabang dengan 3,107 undi.

Di Johor pula, Rafizi jauh mendahului Saifuddin dengan 4,217 undi, menang di 23 cabang manakala Saifuddin menang di tiga cabang dengan 1,117 undi.

Dalam pada itu, di Perak, memperlihatkan dominasi undi memihak kepada Rafizi.

Sebanyak 24 cabang di Perak, hanya tiga cabang memihak kepada Saifuddin iaitu Bukit Gantang, Kampar dan Ipoh Barat manakala Teluk Intan memberi undi sama rata kepada kedua-dua calon iaitu sebanyak 102 undi.

Undi tertinggi diterima oleh Rafizi di PKR Cabang Bagan Serai sebanyak 802 undi berbanding Saifuddin yang hanya mendapat enam undi sahaja.