Sungai Aur bertukar biru kesan aktiviti cuci tong kimia

Bekas berisi bahan kimia ditemui di sebuah premis cucian tong terpakai di Klang dan keadaan air Sungai Aur di Klang yang bertukar warna biru.
Bekas berisi bahan kimia ditemui di sebuah premis cucian tong terpakai di Klang dan keadaan air Sungai Aur di Klang yang bertukar warna biru.
A
A
A

KLANG - Kegiatan haram sebuah premis di sini yang menjalankan kerja cucian tong terpakai dipercayai berisi sisa kimia berjaya dibongkar sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pada Sabtu.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, beratus tong terpakai yang sedia untuk dicuci ditemukan pada ruang terbuka sewaktu operasi dijalankan JAS bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, JAS turut menemui air berwarna biru pada longkang di luar premis tersebut mengalir hingga ke longkang besar berhampiran.

"Kegiatan mencuci tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW409 tersebut dijalankan tanpa sebarang kelulusan daripada JAS.

"Premis telah dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Nor Aziah berkata, kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Kompaun keseluruhan bernilai RM500,000 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual berkaitan kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut," katanya.

Beliau berkata, wakil premis iaitu seorang lelaki berumur lewat 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Dengan terbongkarnya kes semalam, JAS percaya kes ini mempunyai kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru yang menggemparkan penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran pada Disember tahun lalu yang turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Leong Tuck Chee.

"JAS Selangor memandang serius kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penjenayah alam sekitar," katanya.