Briged Tenggara PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta

Beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai ditemui di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang pada Khamis. - Foto Briged Tenggara PGA
Beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai ditemui di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang pada Khamis. - Foto Briged Tenggara PGA
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 7,146 karton rokok seludup bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang pada Khamis.

Komandernya, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, dalam Op Kontraban Pantai Timur pada jam 3 petang itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Ketika serbuan, lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod lampau itu sedang memunggah beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai di dalam bonet dan tempat duduk belakang sebuah kereta di pekarangan rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta dan rumah, kami berjaya menemui kotak-kotak yang di dalamnya mengandungi 1,429,200 batang pelbagai jenis rokok berharga RM114,336 dengan nilai cukai sebanyak RM975,564.

“Nilai keseluruhan rampasan ini adalah sebanyak RM1,092,900 melibatkan rokok putih, kereta dan telefom bimbit,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurut Hasan Basri, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000, mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan Briged Tenggara PGA dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Katanya, tiga lelaki tempatan telah ditahan sepanjang tempoh berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.1 juta.

Artikel Berkaitan: