X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Bina laluan pintas lebih mahal berbanding WCE

Abdul Aziz
A
A

IPOH - Kos pembinaan jalan pintas sejauh 64 kilometer (km) sebagai laluan alternatif tanpa melalui Terowong Menora didakwa terlalu tinggi berbanding Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, projek pembinaan jalan baharu itu dianggarkan bernilai lebih RM5.7 billion manakala WCE pula melibatkan sebanyak RM5 billion bagi jarak 230km.

"Apa yang menjadi satu persoalan adalah kos pembinaan begitu tinggi. Berbanding dua lebuh raya itu, kos bagi setiap 1km untuk WCE adalah RM21.6 juta manakala lebuh raya baharu itu pula melibatkan hampir RM90 juta.

"Sekurang-kurangnya rakyat perlu diberi ruang untuk memberi cadangan atau idea tetapi sekarang perkara itu seolah-olah sudah diputuskan dan akan dibuat. Malah ada secara jenaka mengatakan ia adalah tanda pilihan raya atau kumpul duit. Kata-kata ini tidak bagus sebenarnya," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pengumuman cadangan laluan berkenaan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad secara tiba-tiba itu dilihat sebagai suatu yang pelik.

"Kami (pembangkang) sebenarnya tidak tahu berikutan isu ini tidak dibahaskan secara terbuka sama ada melibatkan soal kos atau keperluannya dalam Dewan Negeri.

"Projek sedemikian mahal, siapa hendak tanggung? Kalau jawapannya 1sen rakyat tidak bayar, jangan semudah itu sebab tanah ini rakyat punya dan balak ini rakyat punya. Jangan lupa ia melibatkan alam sekitar, kos itu jangan main-main," katanya.

Sinar Harian melaporkan Kerajaan Perak berharap cadangan pembinaan jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan mengurangkan kemalangan maut berhampiran Terowong Menora.

Kerajaan negeri dan persekutuan sudah pun memberikan kelulusan terhadap pembinaan jalan baharu itu dan ia tidak melibatkan peruntukan kerajaan sebaliknya dilaksanakan oleh syarikat swasta.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!