Jalan kerap kemalangan di Perak akan dinilai semula

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Semua laluan jalan persekutuan di Perak yang dikesan berisiko dan kerap berlaku kemalangan akan dinilai semula untuk penyelenggaraan.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penilaian yang dibuat bersama Kementerian Kerja Raya itu sebagai inisiatif mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor jalan.

Menurutnya, perkara itu selari dengan saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu kerajaan negeri dan pihak-pihak berkaitan mengatasi kelemahan dengan melakukan penambahbaikan bagi mengelak tragedi kemalangan berulang.

"Jalan-jalan yang kerap kemalangan, yang banyak selekoh berbahaya dan sempit, ini semua kita kena ambil kira semula untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan.

"Jika tiada apa halangan, peringkat awal kita akan adakan lawatan kerja bersama Menteri Kerja Raya untuk melihat keadaan jalan di laluan Gerik-Jeli yang tidak begitu baik sekali seperti diumumkan Menteri Besar sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mohd Zolkafly (kanan) bersama Saarani ketika menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.
Mohd Zolkafly (kanan) bersama Saarani ketika menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Khamis.

Mohd Zolkafly berkata, cadangan penambahbaikan dan penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan itu telah dikemukakan dalam beberapa siri perbincangan antara kerajaan negeri bersama kementerian.

Katanya, kementerian memberi respon positif mengambil kira keseriusan kadar kemalangan yang kerap berlaku di negeri ini.

"Kita harap kerajaan pusat akan beri peruntukan kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan pembinaan semula dan menyelenggara jalan-jalan persekutuan yang perlu dilaksanakan dengan segera," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pembinaan jajaran lebuh raya baharu sebagai laluan alternatif ke utara bermula Gopeng hingga Kuala Kangsar dapat dimulakan September ini.

"Saya jangkakan syarikat konsesi akan mulakan kerja-kerja awal melihat kesesuaian tanah dan sebagainya pada September ini.

"Ikut jadual asal, pembinaan ini dijangka siap dalam tempoh tiga ke lima tahun, bergantung kepada keadaan semasa," katanya.

Jajaran lebuh raya itu dicadang dibina bagi mengurangkan kesesakan dan kemalangan yang sering berlaku di Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).