150 lembu sado dikumpulkan sempena Himpunan Lembu Sado Pantai Timur

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lebih 150 ekor lembu sado dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bakal dihimpunkan di Dataran Pekan Jabi, Besut sempena program Himpunan Lembu Sado Pantai Timur pada 30 Jun hingga 2 Julai nanti.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, antara lembu sado yang bakal ditonjolkan sepanjang tiga hari program itu adalah dari baka Charolais, Limosin dan Belgian Blue.

“Program anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Terengganu dan Persatuan Penternak Ruminan Terengganu ini bakal menjadi medan himpunan para penternak lembu sado di kawasan Pantai Timur.

“Ini merupakan himpunan lembu sado kali kedua diadakan selepas penganjuran pertama pada tahun 2019. Sudah dua tahun kita menangguhkan program ini berikutan pandemik Covid-19,” katanya di sini pada Jumaat.

Menurut Dr Azman, pelbagai aktiviti menarik sudah dirancang bagi merancakkan Himpunan Lembu Sado dan orang ramai dijemput hadir bagi melihat sendiri keunikan baka yang mampu mencapai berat 1 tan itu.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) selama tiga hari bermula 23 Jun di Dataran Pekan Jabi, Besut.

Jelas beliau, dua acara besar itu sebahagian program pertanian yang dirancang pada tahun ini selain aktiviti lain.

“Seiring dengan fasa peralihan negara ke endemik, kita akan mengadakan pelbagai jenis program melibatkan sektor besar pertanian, perikanan dan penternakan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebelum ini, kerajaan negeri sudah berjaya melaksanakan 90 daripada 94 program yang disenaraikan dalam Tahun Pertanian Terengganu 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2.9 juta,” katanya.