Guru Malaysia pertama rangkul Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge

Khalifa. - Foto: Cambridge University Press
Khalifa. - Foto: Cambridge University Press
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang guru Malaysia, Khalifa Affnan dinobatkan sebagai pemenang global bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Cambridge University Press dalam pengumumannya pada Khamis menyatakan Khalifa yang merupakan guru di Kolej Vokasional Keningau, Sabah dipilih sebagai pemenang daripada 7,000 pencalonan dari 112 negara, 60 penyertaan disenarai pendek dan enam pemenang serantau.

Menurut penerbitan universiti dan media tertua di dunia itu, ia merupakan kali pertama guru Malaysia dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut bagi kedua-dua peringkat iaitu global dan rantau.

“Khalifa memenangi Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2022 atas pencapaiannya dalam memulakan projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di mana dia melatih pelajar dalam robotik, dron, pengekodan dan disiplin berasaskan teknologi yang lain.

“Usaha beliau telah meningkatkan penyertaan aktif pelajar perempuan dan pelajar berkeperluan khas dalam aktiviti STEM,” kata kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, antara pencapaian Khalifa adalah kejayaan untuk menawarkan pengalaman global kepada pelajarnya walaupun sekolahnya terletak di kawasan pedalaman melalui program pertukaran budaya antara sekolah dengan institusi pendidikan Korea Selatan.

Katanya, ramai pelajar di bawah didikan Khalifa mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk memperoleh tempat ketiga pada kejohanan Robotik Korea 2018 dan penceramah ucaptama di sidang kemuncak STEM British pada 2020.

Sementara itu, Pengarah Cambridge University Press untuk ASEAN, Kanjna Paranthaman berkata, kemenangan Khalifa itu merupakan sesuatu yang membanggakan buat guru di Malaysia dan ia menggambarkan kualiti pendidik yang dimiliki oleh negara.

"Program STEM Khalifa telah memberi impak yang besar dalam memastikan setiap orang dalam komunitinya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, iaitu nilai yang kami pegang di Cambridge University Press.

“Semoga pencapaian Khalifa akan memberi inspirasi kepada guru dan seterusnya melengkapkan negara dengan individu yang berdedikasi untuk membimbing generasi muda akan datang,” ujarnya.

Sebagai pemenang, Khalifa, 36 akan menerima set buku dan sumber digital pilihan daripada Cambridge University Press serta pakej pembangunan profesional.

Khalifa yang juga anak kelahiran Selangor itu juga akan ditampilkan di hadapan setiap buku teks Pendidikan Cambridge University Press yang baharu mulai Februari 2023 dan seterusnya.

Sementara itu, Khalifa berkata, minatnya untuk mengajar dalam bidang STEM mula tercetus apabila dia saya menyertai program pertukaran guru anjuran Bahagian Profesionalisme Keguruan di Korea Selatan pada 2017.

“Pengalaman itu meluaskan fikiran saya tentang dunia teknologi dan membuka mata saya kepada mekanik di sebalik dron, robotik, pengekodan dan banyak lagi.

“Ini menyemarakkan semangat saya dalam mengajar mata pelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi ICT, selain mata pelajaran berasaskan bahasa yang telah saya ajar," katanya yang turut menjadikan datuknya yang juga seorang guru bahasa sebagai inspirasi.

Khalifa berkata, seperti kebanyakan guru terdahulu, dia juga menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasnya sebagai pendidik.

“Tetapi dengan daya tahan dan kreativiti, saya gembira untuk mengatakan saya akan terus melakukan apa yang dilakukan kerana kepuasan melihat pelajar saya mengembangkan kemahiran baharu dan mendapat manfaat daripada program STEM,” ujarnya.