Kerajaan Kedah tidak terkesan tindakan Zuraida

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) merasmikan Projek e-Dagang Fasa 1 di Seri Temin, Bukit Kayu Hitam pada Khamis. Turut kelihatan Ku Abd Rahman (kanan). - Foto UPDA
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) merasmikan Projek e-Dagang Fasa 1 di Seri Temin, Bukit Kayu Hitam pada Khamis. Turut kelihatan Ku Abd Rahman (kanan). - Foto UPDA
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Keputusan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak akan memberikan kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dilihat tidak menjejaskan kedudukan dan sokongan parti-parti pemerintah sedia ada di negeri tersebut.

"Dia menteri persekutuan, Kedah tidak ada apa-apa (tidak akan terjejas)," katanya ringkas pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek e-Dagang Fasa 1 di Seri Temin, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tindakan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM pada Khamis.

Secara berseloroh Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak mengetahui perkara tersebut dan tidak sempat mengkaji apa kesan yang akan berlaku susulan Zuraida menyertai PBM.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM sekali gus berhasrat meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dari Bersatu juga senada dengan MB Kedah.

Beliau yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, enam ADUN Bersatu di Kedah akan terus menyokong kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

"Saya tak nampak sebarang gerakan ataupun mendengar ahli-ahli yang sebelah kerajaan ini akan menyeberang mana-mana (parti di Kedah). Tapi saya penuh yakin kerajaan sedia ada di Kedah akan terus sampai pilihan raya akan datang. Kita nak kestabilan (kerajaan)," ujarnya.