HFMD: Ibu bapa tidak perlu khuatir hantar anak ke sekolah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak berasa khuatir untuk menghantar anak mereka ke sekolah berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kerana penularan penyakit itu di negeri ini dilaporkan adalah terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) akan terus bekerjasama dalam memastikan anak-anak sentiasa selamat serta terhindar daripada penyakit tersebut.

"Dalam mesyuarat Exco bersama Menteri Besar Perak, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan soal kesihatan anak-anak sewaktu berada di dalam dan luar sekolah.

"Kami ambil maklum dengan apa yang terjadi di Melaka berhubung penularan kes HFMD daripada peringkat pendidikan awal kanak-kanak hingga sekolah menengah.

"Laporan penularan penyakit itu di negeri ini adalah terkawal setakat ini, dengan kerajaan negeri bersama JPN dan JKN mengadakan program libat urus dalam usaha memantau dan memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat,” katanya ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Jabatan Alam Sekitar Perak di sini pada Rabu.

Menurut Ahmad Saidi, pihak sekolah juga telah dimaklumkan agar melaporkan dengan kadar segera sekiranya terdapat sebarang gejala berkaitan HFMD.

"Saya telah mengarahkan guru besar, pengetua dan pengendali di setiap peringkat pendidikan untuk memaklumkan kepada JPN dan JKN sekiranya terdapat kanak-kanak yang mempunyai gejala awal seperti ulser dan keradangan di dalam mulut.

"Lakukan pemeriksaan seawal yang mungkin bagi mengekang penularan HFMD,” katanya.

Jumaat lepas, 42 tadika di negeri ini dilaporkan ditutup di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dengan daerah Kinta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 tadika diikuti Perak Tengah (enam).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin dalam laman Facebooknya memaklumkan, 2,638 kes HFMD dilaporkan setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 yang berakhir 14 Mei lepas, berbanding 159 kes bagi tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan peningkatan kes HFMD kira-kira 16.6 kali ganda. - Bernama