Mufti tegur netizen sensasikan kisah miskin raih simpati

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Mufti Kelantan menegur trend terkini netizen yang bertindak mensensasikan kisah-kisah golongan miskin menerusi pendedahan di media sosial kerana hukumnya haram.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perlakuan umpama ‘wartawan segera’ yang menghebohkan perihal kemiskinan itu hukumnya haram kerana membuka keaiban orang lain.

Menurutnya, Islam menggariskan tiga kaedah dalam melaksanakan sesuatu perkara atau pekerjaan iaitu berdasarkan niat, matlamat dan cara.

“Hendak membantu rakyat dalam kemiskinan, tetapi kemudian dihebohkan di media sosial, apa tujuan sebenarnya. Kalau hendak membantu perlu tetapkan niat dan matlamat yang baik seterunya cara untuk membantu juga mestilah dengan betul.

“Mencari dan mendedahkan kisah kemiskinan sehingga mengaibkan pihak lain adalah satu kesalahan, berdosa serta haram hukumnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kompleks MAIK di Lundang di sini pada Rabu.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Majlis turut dihadiri lebih 1,000 tetamu kenamaan dan masyarakat awam.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, pihak yang ingin membantu golongan miskin sepatutnya merujuk atau melaporkan kepada pihak berautoriti sepertimana yang diamalkan oleh golongan media arus perdana.

“Ini cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa dan sedang ditangani supaya masyarakat kita sepatutnya menghormati pihak yang berautoriti dengan merujuk kepada mereka dalam sesuatu perkara.

“Jika timbul isu, tidak sepatutnya terus ditularkan dan perlu kepada penelitian serta penapisan terlebih dahulu kerana jika sengaja menimbulkan kekacauan terhadap pemikiran dan kehidupan orang lain, hukumnya haram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu perkara lebih-lebih lagi hal-hal yang mengaibkan pihak lain.