Angka korban insiden serangan tembakan meningkat 21 orang

Robb Elementary School itu mengajar lebih 500 murid gred dua hingga empat dan kebanyakannya adalah Hispanik serta golongan kurang bernasib baik. - - Foto AFP
Robb Elementary School itu mengajar lebih 500 murid gred dua hingga empat dan kebanyakannya adalah Hispanik serta golongan kurang bernasib baik. - - Foto AFP
A
A
A

UVALDE - Angka korban insiden serangan tembakan di sebuah sekolah di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa meningkat kepada sekurang-kurangnya 21 orang termasuk 18 kanak-kanak.

Jumlah kematian itu disahkan Senator Texas, Roland Gutierrez selepas negara itu kembali digemparkan insiden tembakan ganas menyasarkan Robb Elementary School di Uvalde yang merupakan sebuah komuniti kecil yang mengambil masa perjalanan kira-kira sejam dari sempadan Mexico.

Sementara itu, Gabenor Texas, Greg Abbott berkata, suspek warga tempatan berusia 18 tahun yang dikenal pasti sebagai Salvador Ramos juga maut ditembak pihak berkuasa di lokasi kejadian.

"Dia bertindak secara tidak berperikemanusiaan. Siasatan awal mendapati penyerang menuju ke sekolah tersebut setelah menembak mati neneknya, namun tidak dapat dipastikan jika kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan. Motif serangan masih disiasat," katanya.

Difahamkan, Robb Elementary School itu mengajar lebih 500 murid gred dua hingga empat dan kebanyakannya adalah Hispanik serta golongan kurang bernasib baik.

Susulan kejadian tragis itu, Rumah Putih telah mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di kesemua bangunan kerajaan sehingga Sabtu ini.

Presiden, Joe Biden juga menggesa rakyat Amerika supaya bangkit menentang lobi prosenjata api di negara itu yang sedikit sebanyak mencalarkan imej negara tersebut.

"Sudah tiba masanya untuk bertindak bagi mengubah kesakitan ini," tegasnya.

Ia adalah insiden serangan tembakan paling dahsyat sejak kejadian di Sandy Hook di Connecticut yang meragut nyawa 20 kanak-kanak dan enam kakitangan sekolah itu pada 2012. - AFP