Hero akhirnya sudah tiba

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SELEPAS berbulan-bulan masalah bekalan ayam melanda negara dan kemuncaknya tiba pada Sabtu lalu, akhirnya kerajaan tampil membuat satu keputusan yang cukup berani dalam mesyuarat kabinet pada Isnin.

Antara keputusan itu adalah menghentikan eksport ayam, menyiasat kewujudan kartel, memansuhkan kebenaran permit import, mewujudkan stok penimbal, mempermudah subsidi, meningkatkan sumber makanan ayam dan menambah pusat sembelihan di luar negara.

Harga ayam sebenarnya bergantung kepada kos penternakan. Jika kos makanan tinggi, maka harganya akan meningkat dan ia lumrah dalam industri tersebut. Bagaimanapun, tahun lalu harga makanan yang diimport telah meningkat dengan tinggi sehingga harga ayam di pasaran mencecah sehingga RM10 sekilogram.

Keadaan menjadi serius apabila kedudukan ringgit semakin lemah, kos import melambung tinggi, harga jagung, soya dan gandum juga meningkat dengan mendadak. Rakyat sudah mengeluh waktu itu kerana ayam merupakan sumber makanan yang paling murah dan menjadi sajian di rumah serta bahan penting bagi pengusaha makanan.

Ada cadangan untuk mengimport ayam dari luar negara bagi mengimbangi harga ayam, namun ia tidak dapat dilakukan kerana kos untuk import bahan makanan itu tinggi menyebabkan harganya juga masih mahal untuk dipasarkan di Malaysia.

Kemudian kerajaan bertindak memperkenalkan harga siling daripada RM9.10, kemudian diturunkan kepada RM8.90. Tindakan itu menimbulkan masalah lain apabila peniaga-peniaga ayam pula tertekan kerana tidak dapat menjana keuntungan.

Akhirnya secara diam-diam, penjual-penjual ayam telah mengenakan upah memotong ayam kepada pelanggan dan mengakibatkan pengguna pula yang tertekan dan harga masih lagi tinggi.

Kemuncaknya, Sabtu lalu beberapa pengeluar ayam terbesar di negara ini memaklumkan mereka tidak dapat membekalkan ayam menyebabkan seluruh negara mengalami masalah kekurangan ayam.

Macam-macam keluh-kesah yang diterima. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan supaya mesyuarat kabinet yang kebiasaannya pada Rabu tetapi diawalkan pada Isnin.

Dan pada petang Isnin, satu kenyataan berani dan tegas telah dikeluarkan sehingga ada beberapa pihak mengatakan ia seumpama hero yang keluar ketika rakyat dalam keadaan sangat memerlukan.