X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

DBKL akan batalkan lebih 300 lesen disalah guna

Jalaluddin (tengah) diiringi Mohamad Fadzill (kiri) dan Amran (kanan) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 PKMM Wilayah Persekutuan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 300 pemegang lesen yang menyalahgunakan pelbagai lesen yang diluluskan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen terbabit selain turut disenarai hitam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia membabitkan lesen penjaja, lesen perniagaan dan lesen premis.

Menurutnya, penyalahgunaan lesen itu membabitkan perbuatan menjual dan memberi sewa atau sub lesen tersebut kepada pihak ketiga termasuk warga asing.

"Setakat ini kita dapati lebih 300 pemegang lesen melakukan kesalahan itu dan kita akan ambil tindakan untuk membatalkan lesen-lesen berkenaan.

"Mereka yang didapati bersalah juga akan disenarai hitamkan dan tiada lagi peluang kedua buat mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-40 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Wilayah Persekutuan di Hotel Premiera pada Selasa.

Hadir sama, Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamad Fadzill Hassan dan Yang DiPertua PKMM Wilayah Persekutuan, Datuk Amran Mohamad.

Mengulas lanjut, Jalaluddin menegaskan beliau sendiri turut melakukan pemeriksaan secara mengejut bagi memastikan lesen yang diberikan tidak disalahgunakan termasuk di Pasar Borong Selayang.

Sementara itu, beliau memberitahu, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar dakwaan wujud kartel dalam sektor pembinaan atau projek pembinaan dikuasai pihak tertentu.

“Saya tidak izinkan perkara ini berlaku dan kalau ada dalam pentadbiran serta pengurusan DBKL, ia tidak akan dibiar terus menerus berlaku," jelasnya.

Menurutnya, projek itu tidak boleh dimonopoli pihak tertentu yang berkepentingan dan mengambil peluang di atas keistimewaan diberikan kepada kontraktor Melayu.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku ia tidak adil kepada mana-mana kontraktor yang benar-benar mahu menjalankan kerja kontrak sebagai kontraktor bumiputera di wilayah dan negeri lain.

“Kalau ini berlaku saya akan pastikan DBKL akan ambil tindakan kepada mana-mana kontraktor yang mengambil kesempatan untuk menyalah guna lesen dan pendaftaran kontraktor di taraf bumiputera,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!