22 lelaki Rohingya tunggang motosikal roda tiga secara bahaya ditahan

Anggota polis menahan 22 lelaki warga Rohingya kerana menaiki motosikal yang diubah suai dan menunggang secara bahaya di sekitar Bandar Raya Johor Bahru, pada Isnin.
Anggota polis menahan 22 lelaki warga Rohingya kerana menaiki motosikal yang diubah suai dan menunggang secara bahaya di sekitar Bandar Raya Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan 22 lelaki warga Rohingya kerana menaiki motosikal yang telah diubah suai dan menunggang secara bahaya di sekitar bandar raya ini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, menerusi Operasi Khas Motosikal Roda Tiga itu, ada antara mereka tidak memiliki lesen dan kenderaan tiada perlindungan insurans.

"Sebanyak 54 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal terbabit ekoran pelbagai kesalahan yang dilakukan.

"Sepanjang operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan sebanyak 22 buah motosikal roda tiga yang telah diubah suai dan ditunggang oleh warga asing berbangsa Rohingya.

"Ketika pemeriksaan, mereka membawa barang-barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rupiah berkata, 22 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan 10 saman dikeluarkan mengikut Seksyen 90 akta sama kerana tiada perlindungan insurans kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata, 22 keping saman lagi dikeluarkan mengikut Peraturan 34 LN 170/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai struktur kenderaan sedia ada.

Katanya, kesemua motosikal roda tiga terbabit yang ditahan itu turut disita di bawah Seksyen 64 akta berkenaan.

"Polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna dan mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa," katanya.