Mbappe dedah pernah berunding bersama Liverpool

Mbappe memegang jersi PSG sebagai simbolik dia akan terus kekal di Paris sehingga 2025.
Mbappe memegang jersi PSG sebagai simbolik dia akan terus kekal di Paris sehingga 2025.
A
A
A

PENYERANG Paris Saint Germain, Kylian Mbappe mendedahkan bahawa dia pernah berhubung dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool sebelum mengambil keputusan untuk kekal bersama kelab yang diwakilinya ketika ini.

Malah penyerang antarabangsa Perancis itu turut memberitahu ini bukan kali pertama dia berhubung dengan The Reds berkenaan potensi untuk berpindah ke Anfield memandangkan pernah berbuat demikian pada 2017 ketika beraksi bersama Monaco.

“Saya pernah berhubung dengan Liverpool sebelum ini kerana ia merupakan pasukan kegemaran ibu saya.

“Liverpool merupakan pasukan yang hebat dan ini bukan kali pertama saya berhubung dengan mereka. Ini kerana sebelum ini ketika di Monaco lima tahun lalu, saya pernah berhubung dengan Liverpool.

“Namun pada akhirnya hanya ada dua kelab sahaja yang saya minat untuk sertai sama ada Real Madrid atau PSG,” ujarnya.

Mbappe sebelum ini menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama PSG.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh penyerang berusia 23 tahun itu di depan peminat PSG selepas menjaringkan hatrik ketika membantu pasukannya meraikan kemenangan 5-0 ke atas Metz.

Perkembangan itu nyata menimbulkan kemarahan Real Madrid, yang menjangkakan Mbappe akan menyertai mereka pada musim panas ini.