Pesara rugi RM60,000 diperdaya 'parcel scam'

Seorang pesara menanggung kerugian RM60,000 selepas diperdaya sindiket 'parcel scam' (Gambar hiasan). - Foto 123RF (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
Seorang pesara menanggung kerugian RM60,000 selepas diperdaya sindiket 'parcel scam' (Gambar hiasan). - Foto 123RF (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pesara kerugian RM60,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan kiriman bungkusan yang tidak wujud minggu lalu.

Mangsa yang berusia 72 tahun pada awalnya menerima panggilan daripada individu yang menyamar dari Pejabat Pos kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 11 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa diberitahu terdapat bungkusan yang mengandungi kad pengenalan, kad bank dan cek yang tidak dituntut.

"Mangsa tidak mengaku barangan tersebut menyebabkan panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas memaklumkan bungkusan tersebut mempunyai barangan terlarang.

"Mangsa kemudiannya dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram dan kes dadah diminta menyerahkan butiran akaun bagi mengelakkan duit simpanan dibekukan oleh Bank Negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, mangsa telah menyerahkan segala butiran akaun miliknya kepada sindiket terbabit.

"Setelah menyerahkan maklumat nombor akaun, mangsa diminta untuk memindahkan wang yang sedia ada ke dalam akaun yang diberikan sindiket.

"Mangsa kemudiannya telah membuat pindahan sebanyak RM30,000 kepada dua akaun keldai pada Khamis dan Jumaat lalu," katanya.

Ahmad Adnan berkata, mangsa menyedari telah tertipu membuat laporan pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai sekali lagi diingatkan jangan mudah percaya kepada panggilan telefon yg diterima dari mana-mana nombor telefon yg tidak kenali.

"Jangan layan panggilan tersebut bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sindiket penipuan ini," katanya.