X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Malaysia berminat pelajari pengalaman Itabashi tangani impak Covid-19

Ismail Sabri tiba di Lapangan Terbang Antrabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari. - Foto Bernama
A
A

TOKYO - Beberapa jam selepas tiba di Jepun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa memulakan program sempena lawatan rasmi sulungnya dengan bertemu Datuk Bandar, Itabashi Takeshi Sakamoto, selain menyatakan minat Malaysia untuk mempelajari pengalaman bandar raya itu dalam usaha mengurangkan impak pandemik Covid-19.

Melalui pengamatan ketika dalam perjalanan ke bandar raya Itabashi yang menyaksikan keindahan dan kepesatan pembangunannya, Ismail Sabri berkata, beliau percaya banyak perkara yang boleh dipelajari Malaysia daripada pihak pengurusan bandar raya Itabashi terutamanya ketika dunia termasuk Malaysia berdepan cabaran luar biasa akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pelbagai sektor sosial dan ekonomi perlu dibangunkan semula agar kembali dapat beroperasi secara optimum dan beliau percaya Jepun khususnya pengurusan bandar raya Itabashi mempunyai kaedah pengurusan terbaik untuk mengurangkan impak akibat pandemik.

"Saya berminat bertukar-tukar pandangan dan mempelajari pengalaman yang ada," katanya pada majlis meraikan lawatan sulung beliau ke Jepun sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bandar raya Itabashi pada Selasa.

Ismail Sabri tiba di Tokyo hampir tengah malam pada Isnin untuk memulakan lawatan kerja rasminya selama enam hari ke Jepun.

Itabashi adalah satu daripada 23 pusat bandar dalam metropolis Tokyo.

Pada majlis itu, Ismail Sabri mengakui bahawa Malaysia sememangnya mengagumi Jepun kerana pencapaiannya yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi serta kejayaan negara matahari terbit itu dalam pengurusan kebajikan rakyat dan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Jepun juga saling berkongsi nilai-nilai murni dan terpuji dalam menjunjung warisan budaya masing-masing.

"Rakyat Jepun terkenal dengan budaya lemah lembut, kesantunan dan sifat murah hati mereka. Ini sebenarnya sifat terpuji dan harus dicontohi. Budaya ini juga dikongsi dalam masyarakat kami di Malaysia," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!