'Jangan ambil kesempatan kawal bekalan ayam'

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan memberi peringatan kepada pemain industri penternakan ayam supaya tidak mengambil kesempatan mengawal bekalan dan mencatur harga ayam hingga menjejaskan stok bahan mentah itu dalam pasaran kerana ia memberi kesan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, bekalan ayam dalam negara adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna namun 'ada sesuatu tidak kena' apabila berlaku masalah kekurangan bekalan protein itu sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak nafikan ada masalah ayam berpenyakit dan itu saya boleh terima kerana ia perkara biasa. Tapi kalau ada permainan tidak sepatutnya semata-mata untuk mencari keuntungan mudah, itu tidak sepatutnya berlaku," katanya selepas hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu di Chendering, di sini pada Isnin.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang meneliti pelan penyelesaian masalah ini bagi memastikan bekalan ayam mencukupi dengan harga tidak membebankan.

Nik Muhammad Zawawi (berdiri, tengah) bermesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LKIM Terengganu di sini pada Isnin.
Nik Muhammad Zawawi (berdiri, tengah) bermesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LKIM Terengganu di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengambil pendekatan sepatutnya antaranya adalah penghapusan Permit Kelulusan atau Approved Permit (AP) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bagi mewujudkan persaingan.

"Masalah ayam ini makan masa juga untuk selesai, perbincangan sudah dibuat tapi saya tidak boleh sebut tempoh masanya, kalau tak jadi waktu itu jadi bohong pula, saya harap rakyat dapat sabar," katanya.

Nik Muhammad Zawawi turut berharap agar pemain dalam industri ayam di negara ini dapat bersama-sama kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat.

"Contoh, katakan sebelum ini untung untuk seekor ayam ialah RM2, dalam situasi rumit begini apa salahnya mereka ambil untung RM1 namun konsisten untuk ternak ayam secara berpanjangan dan jangan ada percaturan harga.

"Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan drastik untuk mengimbangi semula keperluan ayam dalam negara," katanya.