X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Kami terpaksa tutup kedai kerana tiada ayam' - Peniaga

Mohd Hafiza menunjukkan bekalan ayam yang diperolehnya pada Sabtu, berkurangan berbanding hari biasa. Gambar kecil: Robby
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga ayam di daerah ini memaklumkan kemungkinan besar mereka tidak dapat berniaga selama beberapa hari bermula Ahad hingga Selasa kerana tiada bekalan ayam.

Seorang peniaga ayam, Robby Awang, 40, berkata, ia berikutan notis ketiadaan bekalan ayam yang diterima daripada pembekal sejak seminggu lalu.

"Dalam dua hari ini mungkin bekalan ayam alami masalah dan kami tidak dapat berniaga kerana sudah menerima notis daripada pembekal utama ayam bahawa bekalan ayam tiada.

"Jadi, esok atau lusa mungkin saya serta beberapa peniaga lain yang mendapat bekalan ayam daripada pembekal sama tidak dapat berniaga," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Sabtu.

Menurut Rooby, notis yang diterima lebih awal turut meminta supaya peniaga lebih bersedia mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal lain.

Bagaimanapun, katanya, nasib sama juga menimpa pembekal lain yang memberikan jawapan tiada bekalan ayam.

"Susah nak dapatkan ayam daripada pembekal lain kerana kebanyakan daripada mereka juga memberikan jawapan sama. Mereka juga kekurangan bekalan ayam," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Hafiza Abdul Ghani, 39, berkata, dia bersama seramai 20 peniaga lain mendapatkan bekalan ayam daripada pemborong di Kampung Kubang Parit, di sini mungkin menerima nasib sama.

"Kebanyakan ayam daripada pemborong berkenaan dipasarkan di Pasar Borong Gong Pauh, Pasar Chabang Tiga, Pasar Pmint serta beberapa kawasan lain di sekitar daerah Kuala Terengganu.

"Mungkin esok hingga Selasa kami tidak dapat berniaga kerana masalah ketiadaan bekalan ayam," ujarnya.

Katanya, bekalan ayam yang diperoleh pada Sabtu juga berkurangan berbanding biasa.

"Hari ini saya dapat sekitar 100 kilogram (kg) iaitu kira-kira 60 ekor ayam berbanding 300 kg atau 150 ekor ayam yang biasa diperoleh.

"Permintaan terhadap ayam memang tinggi disebabkan ramai lagi yang mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri, namun kita tidak mampu memenuhi permintaan disebabkan bekalan berkurangan," katanya.

Menurut Mohd Hafiza, masalah bekalan dan harga ayam yang tidak menentu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, situasi semakin meruncing pada Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, situasi itu menyebabkan peniaga mengalami tekanan untuk menentukan harga runcit ayam yang dijual kepada pelanggan.

"Jika harga bagi bekalan ayam yang kami peroleh sudah tinggi bagaimana kami semua mahu berniaga? Untung amat nipis.

"Kami sudah berusaha untuk memberikan harga yang terbaik kepada pelanggan walaupun kami sendiri mengalami tekanan kerana faktor bekalan dan harga yang tidak menentu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!