Tak puas hati cara pemanduan punca warga emas dipukul

Pada Ahad Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dan kejadian tular di media sosial.
Pada Ahad Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dan kejadian tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak berpuas hati dengan cara pemanduan mangsa dikatakan antara punca seorang lelaki warga emas cedera dipukul dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila mendakwa mangsa membelok kenderaannya secara tiba-tiba.

"Suspek berang apabila mangsa membelok (kenderaan) secara tiba-tiba di lokasi kejadian, itu antara sebab suspek memarahi lalu memukul mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, suspek direman bermula Isnin sehingga Khamis.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati suspek negatif dari sebarang pengaruh dadah.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Ahad, tular video yang dimuat naik di Facebook memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa.

Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.