[VIDEO] Warga emas cedera dipukul penunggang motosikal

Penunggang motosikal bertindak memukul seorang warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa pada Ahad.
Penunggang motosikal bertindak memukul seorang warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Diherdik serta dipukul sehingga terjatuh, itu antara detik cemas yang dihadapi seorang warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian itu dibuat mangsa kira-kira jam 2 petang.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa memandu bersama isteri dan cucu dipercayai dalam perjalanan ke Putrajaya.

"Semasa membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta mangsa telah menjerit dan memarahi mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa kemudian memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran.

"Malangnya, apabila mangsa keluar dari kereta, suspek terus bertindak menendang mangsa di dada kiri selain duduk atas badan mangsa dan menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi.

"Akibat perbuatan suspek itu, mangsa mengalami bengkak bawah mata dan kepala serta sakit bahagian rusuk," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu kemudiannya berjaya diberkas selepas kejadian.

Tindakan seorang penunggang motosikal memukul seorang lelaki warga emas bagaimanapun berjaya dileraikan orang ramai dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini pada Ahad.
Tindakan seorang penunggang motosikal memukul seorang lelaki warga emas bagaimanapun berjaya dileraikan orang ramai dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa di sini pada Ahad.

"Suspek berumur 23 tahun itu telah ditahan untuk tindakan lanjut dan akan direman pada Isnin.

"Kes disiasat di bawah seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu dapat menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syuhada di talian 018-9124770," katanya.

Pada Ahad, tular video yang dimuat naik di Facebook memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa.

Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.