Temui ajal waktu pulang dari kerja

Motosikal yang dipandu mangsa dipercayai terbabas melanggar konkrit penghadang jalan.
Motosikal yang dipandu mangsa dipercayai terbabas melanggar konkrit penghadang jalan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar konkrit penghadang jalan dalam kejadian di Jalan Batu 9, Kebun Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 petang, mangsa Wan Firdaus Ramzul Khairi, dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di Seksyen 23, Shah Alam menghala balik ke rumahnya di Banting Baru, Banting.

Menurutnya, ketika melalui lokasi terbabit, mangsa berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150 dipercayai terbabas ke kiri bahu jalan.

"Kemalangan menyebabkan mangsa terlanggar konkrit penghadang jalan dan menyebabkan badan mangsa tersangkut padanya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di dada," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis minta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: