Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan pusat salur RM15 juta untuk Johor: MB

 Onn Hafiz Ghaz
Onn Hafiz Ghaz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada negeri ini, antaranya untuk pembangunan Kampung Baru Cina serta geran perniagaan berasaskan sains dan teknologi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu diterima daripada Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Katanya, bagi pembangunan Kampung Baru Cina serta geran perniagaan berasaskan sains dan teknologi masing-masing menerima peruntukan RM5 juta.

"Sebanyak RM5 juta lagi untuk rumah ibadat bukan Islam seluruh negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Selain itu, katanya sebanyak RM500,000 turut diberikan kepada projek pencahayaan di daerah Kota Tinggi.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.6 juta bagi menyelesaikan beberapa isu di daerah tersebut dengan RM2.3 juta daripadanya adalah untuk projek Rancangan Tebatan Banjir di Kota Mas.

"Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja pendawaian elektrik Bangunan Sultan Iskandar iaitu di Bangunan Pejabat Daerah, manakala RM800,000 lagi bagi menaik taraf longkang sekali gus menyelesaikan jalan terputus akibat banjir di daerah itu,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi daerah Kota Tinggi yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, yang juga Ahli Parlimen Tenggara. - Bernama

Artikel Berkaitan: