X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Perak sahut cabaran hapus rasuah

Sebahagian NGO yang hadir menyokong kempen Rasuah Busters sempena jelajah ke Perak selama tiga hari bermula Ahad. Gambar kecil: Hasbullah
A
A

IPOH - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters di Perak bersedia menyahut cabaran bagi melaksanakan kempen memerangi rasuah di negeri ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Perak, Profesor Madya Dr Hasbullah Ashari berkata, kempen berkenaan hadir tepat pada masanya memandangkan situasi gejala rasuah kini berada pada tahap membimbangkan.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa pro-tem Rasuah Busters di Perak yakin kempen dilaksanakan akan mendapat maklum balas positif daripada semua pihak terutama pemimpin-pemimpin NGO.

"Ini adalah masa yang tepat untuk kita menggerakkan kempen memerangi rasuah bermula dari peringkat akar umbi hinggalah peringkat atasan.

"Selepas ini akan ada banyak lagi rakan gabungan NGO turut sama menyertai kempen ini," katanya ketika ditemui dalam pertemuan bersama NGO sempena Konvoi #RasuahBusters ke Perak di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Pengerusi LLG Cultural Development Centre (LLG) Perak, Cheng Heng Chung turut menyokong agar kempen seumpama itu digerakkan secara berterusan bagi memastikan negara benar-benar bersih daripada gejala rasuah.

Katanya, LLG sebelum ini turut terlibat dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan hak rakyat termasuk salah guna kuasa dan rasuah.

"Masalah rasuah di negara kita sekarang boleh dikatakan berada pada tahap serius dan kerana itu, kita akan beri sokongan penuh kepada gerakan kempen ini bagi mencapai matlamat utama dalam memerangi rasuah," katanya.

Kempen Rasuah Busters di Perak turut mendapat sokongan padu dalam kalangan pemimpin belia antaranya Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Pengerusi MIYC Perak, A Arvend berkata, kempen Rasuah Busters adalah platform terbaik untuk belia turut sama memainkan peranan menggerakkan kesedaran dari bawah terutama generasi muda.

Hasbullah (tiga dari kanan) menerima kain rentang #Malaysia Tanpa Rasuah daripada Nurhayati sebagai simbolik kepada penubuhan jawatankuasa pro-tem Rasuah Busters di Perak.
Hasbullah (tiga dari kanan) menerima kain rentang #Malaysia Tanpa Rasuah daripada Nurhayati sebagai simbolik kepada penubuhan jawatankuasa pro-tem Rasuah Busters di Perak.

Pihaknya percaya, sekiranya semua pihak mengambil bahagian, imej negara berkaitan salah laku rasuah akan dapat dipulihkan.

"Semuanya kena bermula dari peringkat akar umbi dan sebagai sebahagian daripada pemimpin belia, saya amat mengalu-alukan kempen ini di Perak.

"MIYC sedia memberi komitmen sepenuhnya dalam gerakan kempen ini," katanya.

Perkara itu turut diakui Jawatankuasa GPMS Perak, Mohamad Harith Haikal Mohd Rosli yang berpendapat pengaruh belia dalam media sosial boleh digunakan bagi menggerakkan kempen perangi rasuah itu.

"Apa yang kita boleh berikan adalah dari segi khidmat sukarelawan dan sebaran bahan-bahan kempen pencegahan rasuah di media sosial," katanya.

Sementara itu, Nurhayati berkata, konvoi #RasuahBusters kali ini memfokuskan pengukuhan kerjasama rakan gabungan di Perak bersama pemegang taruh.

Langkah itu katanya, bagi memperluaskan kesedaran pembangunan #NilaiMoralKarakterBangsa secara khususnya; bersesuaian isu dan budaya masyarakat setempat di Perak.

"Agenda integriti dan cegah ketirisan di harap dijadikan keutamaan dalam semua aspek tadbir urus di setiap komuniti dan negeri demi melahirkan Malaysia yang bersih daripada virus rasuah serta salah guna kuasa," katanya.

Konvoi #RasuahBusters di Perak bermula 22 hingga 24 Mei ini dan menjadi negeri kedua dalam misi melaksanakan jelajah seluruh negara tahun ini, selepas Johor.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!