Permintaan tinggi musim perayaan punca bekalan ayam terganggu

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Selain daripada peningkatan harga makanan ayam, permintaan tinggi bahan mentah tersebut ketika musim perayaan menjadi punca bekalan ayam terjejas di Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, bekalan ayam juga didakwa terganggu akibat penyakit yang melanda ayam di ladang.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada laporan diterima pihaknya berkenaan perkara tersebut.

Menurutnya, satu mesyuarat khas melibatkan jabatan dan agensi terlibat di bawah Jawatankuasa Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor akan diadakan pada Isnin.

"Saya sudah minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar hubungi semua pembekal dan penternak ayam di Selangor untuk periksa status (bekalan ayam).

"Memang kita akan tengok (tindakan kerajaan Selangor atasi isu bekalan ayam) kerana kebanyakannya berkaitan dengan kerajaan Persekutuan. Tapi untuk bahagian negeri, kita akan lihat apa yang dibantu untuk permudahkan dan melancarkan supaya tidak terganggu (bekalan ayam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di MBSA Convention Centre di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Izham berkata, Selangor sebelum ini turut bergantung kepada ayam import dari negara luar seperti Thailand sekitar 70 peratus.

Menurutnya, faktor tersebut boleh menyumbang kepada kekurangan bekalan ayam di Selangor, bagaimanapun perkara tersebut akan turut disiasat.

"Bekalan ayam di Selangor sebelum ini memang tidak mencukupi, memang kita import. Hanya 35 hingga 40 peratus ayam tempatan yang selebihnya memang import.

"Jadi sebab itu, saya rasa saya perlu lihat kedua-duanya, kadangkala bila bekalan kita (ayam tempatan) tiada masalah, tapi bila import pula terganggu, sama sahaja impaknya," katanya.

Pada Sabtu, kerajaan Selangor akan mengumumkan status bekalan ayam yang didakwa semakin berkurang di negeri tersebut pada Isnin depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, maklumat terperinci tentang isu tersebut akan didapatkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.