Kerajaan hantar stok ayam di negeri bermasalah: Rosol

Rosol
Rosol
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghantar stok bekalan ayam di negeri-negeri yang mengalami masalah bekalan sumber makanan itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia sebagai alternatif penyelesaian jangka pendek ekoran penutupan sebuah ladang ternakan akibat mengalami masalah pengeluaran.

"KPDNHEP akan mengenal pasti mana kawasan yang terjejas teruk dan akan menyalurkan bekalan untuk menampung permintaan. Misalnya kekurangan berlaku di Perlis, kita akan tampung dengan lebihan ayam yang ada di Pulau Pinang

"Langkah itu bagi meredakan keresahan pengguna berikutan kekurangan bekalan ayam di beberapa negeri," katanya pada sidang akhbar sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihak kementerian menerima maklumat hanya sebuah ladang yang tidak dapat mengeluarkan ayam pada 22 dan 23 Mei kerana mengalami masalah pengeluaran di mana ayam di ladang tersebut tidak mencapai berat yang sepatutnya untuk dipasarkan.

"Siasatan dijalankan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan telah mendapati ayam di situ mengalami masalah disebabkan masalah kurang bekalan makanan selain dijangkiti penyakit.

"Kita ada bukti iaitu gambar-gambar yang diambil menunjukkan ayam-ayam tersebut mengalami penyakit selain ada yang hanya mencapai berat 1.2 kilogram (kg) berbanding berat sepatutnya untuk dipasarkan ialah 1.8kg," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu mengenai bekalan ayam di pasaran sepatutnya tidak berlaku kerana terdapat penambahan 6.6 juta ekor ayam berbanding 6 juta sahaja untuk permintaan biasa bagi bekalan ayam di pasaran negara.

"Sepatutnya masalah kekurangan bekalan ayam tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan ayam telah ditambah disebabkan peningkatan permintaan.

"Jadi, kita akan turun padang untuk menyiasat sekiranya ada unsur menyorok bekalan untuk tujuan menaikkan harga yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya berlaku kes menyembunyikan ayam untuk tujuan manipulasi harga.

Media pada Khamis melaporkan dijangka berlaku kekurangan bekalan ayam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis bagi tempoh dua hari ekoran penutupan ladang ternakan.