Kok Leong berpeluang tambah koleksi pingat emas peribadi

Kok Leong ketika beraksi dalam acara snuker perseorangan lelaki peringkat separuh akhir pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Ha Dong Gymnasium pada Sabtu.
Kok Leong ketika beraksi dalam acara snuker perseorangan lelaki peringkat separuh akhir pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Ha Dong Gymnasium pada Sabtu.
A
A
A

LIM Kok Leong berpeluang menambah koleksi pingat emas peribadinya pada Sukan SEA ke-31 apabila berjaya mara ke final acara snuker perseorangan lelaki esok.

Juara kebangsaan dua kali itu mempamerkan pukulan konsisten sepanjang saingan separuh akhir untuk menewaskan bekas pemain profesional dari Thailand Passakorn Suwannawat, 4-0 (95-21, 68-64, 99-0, 76-40) di Gimnasium Ha Dong di Hanoi pada Sabtu.

Kejayaan Kok Leong itu menyaksikan, beliau akan berdepan James Wattana di peringkat akhir selepas legenda snuker Thailand itu menumpaskan pemain Myanmar Aung Phyo 4-1 (69-42, 113-9, 1-90, 107-0, 67-61) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada 17 Mei, atlet negara berusia 27 tahun itu meraih pingat emas pertamanya pada temasya kali ini selepas mengungguli acara perseorangan snuker 6-Red.

Sementara itu, pengurus pasukan snuker negara Kok Hon Keong optimis Kok Leong mampu menyaingi prestasi legenda Thailand itu pada perlawanan akhir, esok.

"James Wattana mempunyai reputasi tersendiri tetapi dia sudah berusia 52 tahun manakala Kok Leong 27 tahun. Jadi saya rasa Kok Leong mampu bersaing dengan pemain Thailand itu,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian Kok Leong mara ke final acara perseorangan itu menyaksikan skuad snuker negara sudah melepasi sasaran satu emas yang ditetapkan.

Setakat ini, pasukan negara sudah memenangi satu emas daripada Kok Leong dan satu gangsa menerusi Moh Keen Hoo, dalam acara yang sama. - Bernama