LRT Kelana Jaya tergendala, pengguna terjejas boleh tebus kupon


Kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam petang Jumaat, disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup brek hidraulik. - Gambar hiasan
Kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam petang Jumaat, disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup brek hidraulik. - Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam petang Jumaat, disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup (caliper) brek hidraulik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata, keadaan itu menyebabkan angkup brek tidak berfungsi ketika tren sedang beroperasi menjadikan tren tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

"Oleh itu, sebagai langkah keselamatan, pihak operasi memutuskan untuk mengeluarkan tren tersebut daripada perkhidmatan dengan memandu secara manual dari stesen LRT Pasar Seni ke trek poket berhampiran stesen LRT Universiti.

"Bagaimanapun, ketika melepasi stesen KL Sentral, sistem brek telah mengalami kegagalan akibat kebocoran bendalir hidraulik yang menyebabkan tren diberhentikan kerana ia tidak lagi selamat untuk dipandu secara manual," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Rapid Rail Subang di sini pada Sabtu.

Amir berkata, proses penggantian dan baik pulih sistem brek sedang dijalankan secara progresif bermula Oktober 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 November depan.

"Sehingga hari ini, projek itu telah siap lebih 39 peratus daripada keseluruhan armada tren.

"Kami sentiasa berusaha sedaya upaya dengan segala kepakaran yang ada bagi memastikan perkhidmatan rel kendalian kami berfungsi dengan lancar pada setiap masa tanpa sebarang gangguan," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu adalah insiden kedua yang berlaku dalam tempoh dua minggu bagi perkhidmatan itu di laluan Kelana Jaya.

"Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing.

"Mereka yang terlibat dengan insiden ini boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala yang perlu ditebus dalam masa lima hari bermula hari ini. Pengguna yang belum menuntut kupon ini boleh hadir ke mana-mana kaunter LRT Rapid KL bagi mendapatkan kupon tersebut," katanya.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tergendala bermula jam 4.36 petang Jumaat disebabkan sebuah tren terkandas di stesen LRT KL Sentral. Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 6.36 petang setelah kerja pengalihan tren selesai. - Bernama