RUU Sumbangan Politik perlu dipercepatkan: Ahmad

Ahmad (duduk, tiga dari kiri) hadir majlis rumah terbuka Hari Raya ADUN Pulai Sebatang di Dewan UMNO Pontian pada petang Jumaat.
Ahmad (duduk, tiga dari kiri) hadir majlis rumah terbuka Hari Raya ADUN Pulai Sebatang di Dewan UMNO Pontian pada petang Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - UMNO mengalu-alukan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang telah dibincangkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) agar disegerakan perlaksanaannya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RUU terbabit penting bagi mengelakkan individu atau pihak tertentu menjadi mangsa ketidakadilan pendakwaan terpilih.

Menurutnya, UMNO cukup serius dalam memperjuangkan RUU terbabit di mana menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu, salah satu usulnya adalah menyokong kewujudan akta sumbangan politik selain Akta Lompat Parti.

"Saya mengalu-alukan agar disegerakan, jika hendak dirujuk kepada Peguam Negara, drafnya telah ada dan UMNO amat menyokong RUU ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan di Dewan UMNO pada petang Jumaat.

Pada Khamis, JKKMAR bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.

Menurutnya, RUU terbabit penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik selain dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menolak dakwaan dilemparkan kepada pemimpin UMNO yang menyatakan parti itu yang memutuskan hubungan dengan Pas.

"Walaupun peluang telah diberikan untuk berada bersama MN (Muafakat Nasional) dalam kedua-dua PRN (Pilihan Raya Negeri), nama Pas dilihat lebih cenderung kepada PN (Perikatan Nasional) dan telah ‘menyerang’ UMNO dengan beberapa gelaran.

"Pas yang mula memutuskan hubungan apabila memilih PN pada PRN Melaka dan Johor sebelum ini.

“Apabila Pas gagal dalam kedua-dua PRN tersebut, sesetengah pemimpin Pas menyatakan kesediaan untuk kembali kepada MN, namun BN (Barisan Nasional) telah membuat keputusan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.