Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemilihan PKR 2022: Lebih 67,000 ahli undi dalam talian

Zaliha Mustafa
Zaliha Mustafa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengundian dalam talian bagi Pemilihan PKR 2022 yang dilaksanakan buat julung kali mendapat sambutan baik, apabila seramai 67,419 ahli parti itu telah mengundi melalui aplikasi ADIL sejak 18 Mei hingga pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata, ia termasuk pengundian secara dalam talian yang diadakan khusus bagi ahli PKR yang berada di luar negara seperti di Singapura, Switzerland, Korea dan Amerika Syarikat.

"Pengundian dalam talian diadakan dari 18 Mei hingga hari ini. Jumlah keseluruhan ahli yang berdaftar untuk mengundi dalam talian adalah 76,926 dan mereka mempunyai masa hingga 11.59 malam ini bagi melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Jumaat.

Selain itu, beliau memaklumkan peratusan keluar mengundi secara keseluruhan termasuk pengundian fizikal dan dalam talian pada pemilihan parti yang memasuki hari kelapan hari ini, sangat rendah iaitu hanya lapan peratus yang melibatkan 90,304 ahli parti.

Beliau berkata ia termasuk 20,813 ahli yang mengundi secara fizikal di 10 negeri setakat ini iaitu Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, Pahang, Wilayah Persekutuan, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Dr Zaliha yakin jumlah itu akan meningkat pada hari pengundian secara fizikal di Selangor dan Sabah pada hujung minggu ini, kerana kedua-dua negeri mempunyai ahli PKR yang ramai.

Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Mengenai beberapa dakwaan mengenai tahap keselamatan aplikasi ADIL, Dr Zaliha menegaskan sistem yang diperkenal pada 28 Feb lepas itu telah diletakkan pelbagai ciri keselamatan untuk mengurangkan sebarang kemungkinan manipulasi dan penipuan.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaliha berkata, ciri-ciri sekuriti yang sedia ada dalam pengunaan aplikasi ADIL berserta dengan sistem dan proses pengundian yang dikawal rapi, dan pengenalan penggunaan dakwat calit undi memastikan pemilihan parti berjalan dengan telus, saksama dan selamat.

Pemilihan parti itu akan diteruskan esok, dengan pengundian secara fizikal di Selangor manakala Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat pada Ahad ini (22 Mei), sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun. - Bernama