Usah panik penularan cacar monyet

Antara simptom dialami pesakit yang dijangkiti virus cacar monyet. - Foto Agensi
Antara simptom dialami pesakit yang dijangkiti virus cacar monyet. - Foto Agensi
A
A
A

CANBERRA - Dua kes cacar monyet atau monkeypox telah disahkan di Australia selepas penularan penyakit jarang berlaku itu mula dikesan di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara sejak awal Mei ketika sebahagian besar komuniti global mula memasuki fasa endemik.

Pihak berkuasa kesihatan New South Wales (NSW) pada Jumaat memaklumkan kes tersebut melibatkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang mengalami gejala ringan, beberapa hari selepas dia kembali dari Eropah.

Ketua pegawai kesihatan negeri itu, Dr Kerry Chant berkata, keputusan ujian awal menunjukkan individu di Sydney itu positif virus tersebut dan disahkan menerusi ujian seterusnya.

Menurutnya, penularan virus itu tidak sepatutnya mencetuskan panik memandangkan tahap penularan yang lemah dalam kalangan manusia.

"Biasanya anda perlu mempunyai kontak secara bersemuka untuk tempoh yang lama sebelum dijangkiti," ujarnya.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan di Sepanyol dan Portugal juga memberi jaminan penyakit itu tidak begitu menular antara manusia.

Sementara itu, satu lagi kes yang dikesan di negeri Victoria melibatkan seorang pengembara dari Britain.

Lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu dilaporkan juga mengalami simptom ringan sebelum pulang ke Melbourne pada 16 Mei lalu.

"Dia kini menjalani tempoh pengasingan," jelas jurucakap jabatan kesihatan di negeri tersebut.

Pada Khamis, Kanada dan Sweden juga mengesahkan kes cacar monyet di negara masing-masing.

"Individu tersebut tidak mengalami gejala yang teruk dan kini sedang dirawat di Stockholm. Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui dari mana ia mendapat jangkitan tersebut atau kemungkinan terdapat kes lain di sini," kata jurucakap Agensi Kesihatan Awam Sweden.

Ketika kebimbangan semakin meningkat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) memaklumkan laporan penilaian risiko pertama dijangka dikeluarkan seawal minggu depan.

"Kami sedang memantau situasi tersebut dengan teliti dan menyarankan mana-mana kes yang disyaki harus diasingkan dan dimaklumkan segera," menurut ECDC dalam satu kenyataan.

Pada awal minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan ia kini sedang mengikuti perkembangan penyakit itu selepas sebahagian daripada kes di Britain telah disebarkan dalam kalangan komuniti homoseksual. - Agensi

----------

Info:

>Cacar monyet atau monkeypox telah dikesan di beberapa negara seperti Britain, Portugal, Sweden, Sepanyol, Itali, Belgium, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

>Penyakit itu pertama kali dikenal pasti oleh saintis pada 1958 apabila terdapat dua wabak 'seperti cacar' dalam penyelidikan ke atas monyet. Sejak itu, penyakit itu dinamakan sebagai monkeypox.

>Kes jangkitan pertama melibatkan manusia adalah pada 1970. Ia membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di kawasan terpencil di Congo setelah pesakit mengalami simptom demam, sakit otot, nodus limfa membengkak, menggigil, keletihan, ruam pada tangan dan muka.