Kereta Mercedes tahun 1955 cipta sejarah dilelong RM646.15 juta

Kereta Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupé 1955 mencipta sejarah sebagai kenderaan paling mahal di dunia pernah dijual. - Foto Sotheby's
Kereta Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupé 1955 mencipta sejarah sebagai kenderaan paling mahal di dunia pernah dijual. - Foto Sotheby's
A
A
A

LONDON - Sebuah kereta Mercedes-Benz Coupe keluaran 1955 dilelong awal bulan ini dengan harga 135 juta euro (RM646.15 juta) sekali gus menjadikannya sebagai kenderaan paling mahal di dunia pernah dijual, kata Sotheby's pada Khamis.

"Sebuah Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupé 1955 dilelong dengan rekod harga 135 juta euro kepada pengumpul persendirian," kata firma lelongan itu dalam satu kenyataan.

Bidaan itu dimenangi oleh seorang pengumpul, penasihat dan pengedar kereta British, Simon Kidston yang mewakili seorang pelanggan yang tidak dinamakan.

Penjualan pertama kali pada 5 Mei dalam lelongan rahsia di Muzium Mercedes-Benz di Stuttgart, Jerman itu dilaporkan oleh Hagerty Insider

Hanya pengumpul terpilih dan pelanggan Mercedes-Benz dijemput hadir dalam lelongan tersebut.

Kereta Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe itu merupakan sebuah daripada dua kereta yang dicipta pada tahun 1955 dan dianggap kereta paling berharga dalam sejarah automotif.

Ia dibina oleh Jabatan Perlumbaan Mercedes dan dinamakan sempena nama Ketua Jurutera dan Perekanya, Rudolf Uhlenhaut.

Kereta itu berdasarkan kereta Mercedes W 196 R Grand Prix yang berjaya memenangi dua Kejohanan Dunia bersama pemandu Juan Manuel Fangio.

Ia mempunyai enjin 3.0 liter yang lebih besar dan mampu mencapai kelajuan 298 kilometer sejam menjadikannya sebagai salah sebuah kereta yang terpantas di jalan raya pada masa itu.

300 SLR mempunyai enjin 3.0 liter yang lebih besar dan mampu mencapai 180 mph, menjadikannya salah satu kereta terpantas di jalan raya pada masa itu. - Agensi