Manfaatkan tanah-tanah terbiar

Gambar hiasan. - Foto 123RF.
Gambar hiasan. - Foto 123RF.
A
A
A

PENGHAPUSAN permit import (AP) dilihat mampu memberi kelegaan ketika negara tidak terkecuali berdepan krisis bekalan makanan.

Pakar-pakar ekonomi juga dilihat senada dalam menyokong langkah drastik itu sebagai kaedah melaksanakan ‘lambakan pasaran’ dengan menawarkan harga lebih murah demi melawan harga yang tidak munasabah.

Bagaimanapun, penghapusan AP tentunya bukan penyelesaian kepada isu sekuriti makanan di Malaysia.

Kebergantungan negara terhadap bekalan import masih dianggap sebagai satu ancaman besar dan ia bukan perkara baharu.

Lebih RM50 bilion dibelanjakan untuk mengimport bahan makanan setiap tahun. Ia bukan satu angka yang kecil.

Justeru, keutamaan tentunya perlu diberikan kepada aspek pengeluaran makanan asasi, tidak kira sama ada melibatkan sektor penternakan mahupun pertanian bagi mengelak kebergantungan negara terhadap bekalan import yang semakin bertambah dan berpanjangan.

Rasanya sudah ‘berbuih mulut’ saranan yang dilontarkan pakar-pakar akademik dan pihak-pihak berkepentingan untuk melihat Malaysia mampu menjadi juara dalam penghasilan sumber makanan di negara sendiri.

Bukannya tiada langsung perkembangan yang diharapkan, namun pertumbuhannya mungkin tidak begitu ketara menyebabkan negara masih tetap perlu bergantung kepada sumber import.

Penulis akui, kerajaan prihatin dalam memastikan peruntukan bajet tahunan bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ditingkatkan setiap tahun dan Bajet 2022 juga menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Namun, dana semata-mata tidak mampu menyelesaikan isu pokok jika tidak dimanfaatkan dengan lebih terancang bagi memastikan produktiviti para petani dan penternak dapat dimaksimumkan.

Tidak pasti di mana silapnya, sektor sumber makanan negara seolah-olah belum mencapai tahap ‘wow’ di mata masyarakat, apatah lagi dalam usaha menggalakkan penglibatan golongan muda menceburi bidang-bidang berkaitan.

Sebelum ini, MAFI menyatakan keghairahan menukar status tanah untuk projek pembangunan hartanah yang dilihat lebih menguntungkan turut menyebabkan penawaran hasil dalam negara tidak dapat menampung permintaan tinggi penduduk dan industri berasaskan makanan.

Kebergantungan import makanan yang tinggi itu turut dikaitkan dengan isu pembangunan tanah pertanian yang tertakluk di bawah pihak berkuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyangkal perkara itu dan menegaskan bahawa masih banyak tanah pertanian yang disediakan kerajaan negeri bagi tujuan aktiviti pertanian terbiar dan tidak diusahakan sepenuhnya.

Turut dipertikaikan adalah peranan yang sepatutnya dilakukan oleh agensi-agensi di bawah MAFI yang secara tidak langsung mewujudkan keadaan saling menuding jari antara pihak pemerintah.

Situasi tersebut jelas tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada semua pihak. Entah sampai bila isu itu akan terus dibahaskan.

Adakah kita mahu melihat tanah-tanah yang ada terus terbiar atau sekadar menjadi tapak binaan?

Nampaknya rakyat sendiri yang perlu ada kesedaran untuk usahakan tanah walaupun sekangkang kera.

Bagi yang menghuni kediaman tinggi, tanam sahajalah sayur-sayuran dengan cara yang difikirkan sesuai di beranda sendiri.

Penulis sebenarnya bimbang jika sampai satu tahap, negara-negara lain menghalang eksport sumber makanan mereka secara berperingkat ketika sumber makanan negara kita masih lagi berada pada tahap sekarang.

Rasanya sudah ‘berbuih mulut’ saranan yang dilontarkan pakar-pakar akademik, dan pihak-pihak berkepentingan untuk melihat Malaysia mampu menjadi juara dalam penghasilan sumber makanan di negara sendiri.

* Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian